ABU DHABI, Rabu: Sarawak pada hari ini sekali lagi muncul di pentas antarabangsa untuk membincangkan langkah-langkah ke arah memperhebatkan transisi kepada tenaga hijau, khususnya hidrogen.
Atas jemputan pihak penganjur Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Abang Haji Openg telah mengetuai delegasi Sarawak ke ADIPEC (Abu Dhabi International Petroleum Exhibition Conference) yang sedang berlangsung di sini.
Datuk Patinggi Abang Haji Johari yang tiba di sini bersama ahli-ahli delegasi lain pada Isnin pada hari ini telah mengambil bahagian sebagai ahli panel dalam sesi perbincangan bertajuk “Asia’s Role in Defining the Hydrogen Market”.
Soalan-soalan yang diajukan kepada Premier berkisar tentang pendekatan dari sudut dasar negara-negara khususnya di rantau Asia untuk merangsang pertumbuhan dan penggunaan hidrogen sebagai bahan bakar tanpa emisi selari dengan langkah sejagat untuk menangani perubahan iklim akibat emisi karbon.
Datuk Patinggi Abang Haji Johari dalam respon beliau berkata negara-negara serantau hendaklah mengwujudkan kerangka dasar dua hala atau pelbagai hala yang akan mengwujudkan persefahaman dan keseragaman bagi menjamin perdagangan tenaga boleh diperbaharu lintas batas yang tertib dan progresif.
Beliau menekankan bahawa harus ada suatu standard yang boleh diterima pakai oleh semua negara bagi perkara-perkara seperti kaedah pengangkutan komoditi, tarif dan piawaian.
Beliau yakin dengan adanya standard yang seragam di samping pengurangan kos untuk mengeluarkan hidrogen, industri hidrogen akan bertapak dan berkembang berdasar pengeluaran dan permintaan.
Beliau berkata penyelidikan hendaklah diperhebatkan untuk menghasilkan teknologi yang akan mengurangkan kos untuk mengeluarkan hidrogen.
“Saya yakin akan berlaku penghijrahan kepada hidrogen dalam industri dan sistem pengangkutan jika kosnya turun,” ujar Premier.
Setelah selesai sesi perbincangan panel tersebut, Premier telah menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Kerajaan Sarawak melalui Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan Mubadala Investment Company untuk memelihara kawasan hutan paya bakau di Sarawak.
Kemudian beliau telah ditemuramah oleh Nikkei Asia sempena ADIPEC.
Mengiringi Datuk Patinggi Abang Zohari ialah, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Duta Besar Malaysia ke UAE, Tengku Dato' Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni.
Turut hadir Pengerusi Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) Tan Sri Datuk Amar Hamid Bugo, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Dato Husain, Pengerusi SEB, Dato Haji Ibrahim Baki, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan SEB, Datuk Sharbini Suhaili, serta pegawai-pegawai tertinggi kerajaan Sarawak.